Jika anda diberi pilihan untuk menjadi semut, labah-labah atau lebah, manakah yang akan anda pilih? Orang yang rajin bekerja akan memilih menjadi semut, sebab melambangkan kerajinan, iltizam, kerjasama, kesatuan, hidup bermasyarakat dan sentiasa aktif.
Orang yang merasakan dirinya bijaksana akan memilih menjadi labah-labah sebab pada anggapannya labah-labah amat cerdik. Dia membina sarang sekali sahaja tetapi mampu duduk senang dan tetap mendapat makan selamanya.
Manakala orang yang merasakan hidup perlu berjasa akan memilih menjadi lebah. Pada anggapannya lebah sangat rajin, cerdik, juga berkuasa. Sengatan lebah boleh mematikan.
Apakah pilihan anda?Sebenarnya semua pilihan adalah betul. Setiap sesuatu ada kelebihan dan keistimewaan juga kekurangan-kekurang an tertentu. Mengapa saya berkata begitu? Sebabnya, ketiga-tiga binatang kecil ini disebut dalam Al-Quran malah menjadi nama surah. Semut dari Surah An-Naml, labah-labah dari Surah Al-Ankabut dan lebah dari Surah An-Nahl.Itu menunjukkan ketiga-tiga binatang kecil ini sangat istimewa, penting lagi contoh-contoh terbaik untuk manusia. Namun, jika disuruh memilih satu sahaja dan soalan itu ditujukan kepada saya, saya akan menilai sebagaimana berikut:
Semut. Kerjanya menghimpun makanan tanpa henti. Siang malam pagi petang dia berusaha tanpa rehat. Belum pernah saya melihat seekor semut terbaring keletihan. Dia hanya diusung oleh teman-temannya apabila dia mengalami kesakitan ataupun setelah mati. Selebihnya ia akan bekerja, bekerja dan bekerja. Tahukah anda, semut boleh menghimpun makanan untuk bekalan yang amat lama sedangkan usianya tidaklah lebih lama daripada banyaknya bekalan makanan yang boleh dihimpunnya itu. Motif kehidupan semut ialah menghimpun sebanyak-banyak makanan, seolah-olah dia tidak mati dan hidup selama-lamanya. Alangkah tamaknya sang semut hingga kadangkala sanggup memikul sesuatu yang melebihi saiz badannya sendiri. Sedangkan nyata dia sendiri tidak sanggup memakan makanan itu hingga selesai.
Labah-labah. Dalam ayat 41 Surah Al-Ankabut disebut tentang sarang labah-labah sebagai tempat yang paling rapuh. Ia bukan tempat yang aman. Apa pun yang berlindung di sana akan binasa. Bahkan jantannya disergapnya untuk dihabiskan oleh betinanya. Telur-telurnya yang menetas saling berdesakan hingga saling memusnahkan.
Lebah. Lebah memiliki naluri yang dalam bahasa Al-Qur’an disebut, marhumnya, “Atas perintah TUHAN ia memilih gunung dan pohon-pohon sebagai tempat tinggal.” [An-Nahl,16: 68]. Lebah membina sarang berbentuk segi enam bukannya lima atau empat agar efisen dalam penggunaan ruang. Makanannya suci, bersih dan istimewa daripada serbuk sari bunga. Lebah tidak mengumpul makanan, sebaliknya menghasilkan lilin dan madu yang sangat bermanfaat kepada manusia. Lebah sangat berdisiplin, mengenal pembahagiaan kerja, tidak cerewet, tidak letih melakukan kerjanya. Demi kesucian dan manfaat sarang yang dibina, segala yang tidak berguna disingkirkan. Hasilnya sarang lebah menjadi pusat pengumpulan madu. Lebah tidak mengganggu kecuali jika diganggu. Bahkan sengatannya pun di samping amat berbisa juga boleh menjadi ubat.

0 comments:
Post a Comment